HADIS riwayat Ibn Qudamah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya, engkau meninggalkan waris dalam keadaan kaya (Ghaniyy) adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka susah meminta-minta daripada manusia."
Hadis di atas membuktikan bahawa kemiskinan sehingga membawa kepada sifat meminta-minta adalah sangat dibenci oleh Allah SWT serta Rasulullah SAW dan kerana sifat tersebut hanya akan mewujudkan gejala buruk yang lain seperti terputusnya hubungan persaudaraan dan kecurian, sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi.
Islam menggalakkan umat memajukan diri dan menjadi kaya setelah berusaha dengan hasil yg wajib halal dan menepati syarak. Sebagaimana sabda Baginda dalam hadis riwayat Bukhari yang bermaksud: Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang lebih baik daripada hasil usaha tangannya sendiri.
Usahawan ditakrif sebagai pemilik perniagaan yang stabil, mantap dan bercita untuk mengembangkan perniagaan dan pendapatan serta hartanya. Ia menggabungkan sifat manusia yang berusaha memajukan diri, berketerampilan dan memiliki kebolehan luar biasa untuk menterjemahkan sumber dan peluang halal kepada aktiviti keuntungan yg maksimum.
Usahawan perlu yakin dgn keupayaan dan kemampuan diri. Berserta perancangan yang terperinci dan mantap dari aspek modal, tenaga kerja, kepimpinan dan kewangan. Menitikberatkan elemen dan etika keperibadian Islam, kerja dan kemasyarakatan, hukum syariat dan akhlak serta niat dan prinsip keadilan dan ihsan bagi memastikan rezeki benar halal dan diberkati. Berdaya kreatif dan berani mengambil risiko selari dengan ilmu yang dimiliki.
Langkah bijak bukan bermaksud jalan pintas, sebaliknya keutamaan mementingkan prinsip dalam menggapai status usahawan.