Friday, August 24, 2007

Meneruskan Idup!

Detik melewati malam. Terdengar percikan air bagaikan batu menghempas sungai. Debaran jiwa memikirkan apakah itu? Hilang seketika, lalu ketukan pintu mengejutkan dia! Si penguasa memberi salam ingin menumpang lalu. Menunaikan tanggungjawab walau pada lewat waktu.

Dia diperiksa. Ditanya dengan pekerti tentang dirinya, umur, tempat tinggal dan keluarganya. Semua dijawab dengan tenang dan telus. Lalu beredar si baju biru dan dia masih terkaku akan tentang nasib batu-batu yang menghempas sungai tadi. Kabarnya tersebar pantas. Tidak mahu diperiksa mahu pun digari.

Malam melewati pagi. Di tepian bukit, di sebalik rimbun, mahu pun di bawah kereta. Dibasahi embun dan keringat. Degupan jantung tercungap menarik nafas. Namun nasib tetap terjamin. Mencari erti rezki yang sempurna. Di bumi asing bertarung tanpa penat.

Dan pagi melewati siang. Waktu seperti sediakala. Dia dengar mereka sudah kembali. Demi sesuap nasi, jalan dan longkang menjadi tempatnya. Berjuang untuk meneruskan idup. Itulah nasib temannya, yang hanya datang dengan redha walau tanpa izin.